Sunday, October 25, 2009
Rintihan Tua
Seorang lelaki tua berjalan dengan longlai di tengah-tengah jemaah manusia yang tergesa-gesa keluar dari majid usai solat jumaat tengahari itu. Terkadang batuknya menyesakan dada dan menganggu langkahnya menjadi tidak stabil. Lalu lelaki tua itu duduk di penjuru tangga masjid untuk menenangkan dadanya yang kebelakangan ini sering sesak nafas dan batuk-batuk. Mata tuanya memerhatikan langkah-langkah kaki manusia yang berpusu-pusu keluar ke tempat meletak kenderaan. Sekumpulan budak lelaki riang ketawa bersama teman-temannya mencari-cari selipar yang bersepah dan bercampur dengan selipar jemaah lain. Tiba-tiba lelaki tua itu mngeluh sendirian.
“Penyakit tuaku semakin hari semakin menyukarkan aku untuk melangkah ke masjid.
Aku semakin tidak mampu untuk berdiri lama.
Alangkah ruginya diri saat waktu 40 tahunnya yang lalu dimanfaatkan untuk beribadah kepada Allah.
Zaman mudanya yang penuh leka dengan isi dunia.
Entah apa yang dikejar, semakin hari segala yang dia miliki tidak mampu lagi dia kuasai.
Tanah berekar di bukit terbiar tidak diusahakan.
Untung rezeki hasil sewaan rumah seperti tidak kering-kering datang, rezeki Allah masih melimpah.
Namun, dia tidak mampu lagi untuk menikmatinya lantaran keuzuran diri yang semakin di timpa penyakit.”
Lelaki tua yang lebih mesra dipanggil Aji Mat mengeluarkan tasbih yang diperbuat dari tulang unta ketika dibelinya 5 tahun lalu sewaktu menunaikan haji di Mekah dikeluarkan dari kocek baju melayu hijau tuanya. Entah kenapa hatinya begitu sayu sekali setelah selesai solat jumaat tadi. Perlahan-lahan mulutnya kumat kamit berzikir. Hatinya kembali sayu.
“Apalah erti engkau meminta umur yang panjang sampai ke tua,
jika tuamu juga tidak dapat menampung pahalamu di waktu muda.
Untuk apa di minta umur sampai ke tua,
jika waktu muda berlalu begitu sahaja.
Waktu tua,
tidak akan menolongmu dalam pertambahan ibadah,
kerana tuamu bererti sakit bukan lagi sihat,
tuamu bererti lemah bukan bererti kuat.
Tuamu tidak mampu menyediakan bekal yang banyak tetapi,
sayangnya, waktu mudamu dahulu yang menjanjikan segala kesihatan, kekuatan dan membolehkan engkau meyiapkan bekal yang banyak dibiarkan berlalu begitu sahaja.”
Akhirnya, matanya yang rabun itu bergenang dengan air mata. Entah apa maksud airmata ini. Sesal yang seperti terlewat. Masa muda tidak usah dimimpi akan berulang. Hanya menanti maut datang menjelang.
Dalam lelaki tua berusia 70 tahun itu termanggu sendirian disamping tasbihnya yang masih tersangkut di tangan, tiba-tiba bahunya disentuh lemabut dari belakang. Saat itu, perkarangan masjid sudah pun lengan dengan jemaah tadi. Entah kemana menghilang,moga-moga mereka tidak mengejar dunia tanpa tujuan.
Senyuman manis terukir di wajah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang kemas berbaju melayu kuning air. Pian, cucu kesayangannya datang untuk menemaninya pulang dengna motosikal. Kakinya sudah semakin lemah seperti sudah reput di makan anai-anai untuk berjalan kaki ke rumah yang terletak kurnag 100 meter dari masjid.
“Dunia,sampai bila mahu dikejar isinya?
Dirimu tidak akan mampu menikmati selamanya apa yang kau kumpulkan selama hidupmu.
Semua itu hanya membinasakanmu dalam kegembiraan yang menipu.
Manusia,
usah dikejar isi dunia membabi buta.
Usah di sayang dunia sehingga tua,
kerana ia tidak lagi mampu menemanimu tatkala engkau semakin tua kerana engkau juga tidak lagi mampu menurut kerenahnya.
Kau meminta umur yang panjang, tapi tidak pula meminta untuk tua.
Namun, panjang umurmu adalah tanda tuamu.
Tuamu dalah tanda dunia bukan lagi milikmu,
hanya menanti waktu untuk pulang kepada yang Esa.
Andai tuamu masih dangkal dengan pahala,
engkau ibarat sebatang pokok yang tumbang, hanya menanti waktu berlalu untuk luput dari dunia.
Pergimu tiada mendukacitakan manusia.
Hai manusia, hidup ini tiada sudahnya,
apa yang kau miliki hari ini,
belum tentu mampu kau nikmati di hari muka.
Usahlah mengejar dunia yang pasti sirna,
samada engkau yang sirna atau isi dunia dahulu, ia tetap tiada beza.
dunia tidak akan dapat membantu di muka pngadilan,
jika hidupmu ketika di dunia hanya untuk memilikinya bukan untuk menjadikannya jambatan menghubungkan engkau ke syurga.”
“Pian, bawa atuk pergi ziarah kubur nenek kau.” Pinta Aji Mat. Teringat dia akan mimpinya terhadap almarhumah isterinya, Fatimah.
Mah, aku sudah lama tidak bertemu dengan engkau. Sudah 20 tahun kau pergi tapi kau masih tiada aku cari ganti. Sejak akhir-akhir ini aku selalu terkenangkan engkau. Aku ingat lagi, waktu itu aku sibuk mencangkul tanah untuk di buat batas ubi. Kau datang, menyuruh aku pulang untuk solat Asar. Tapi aku berdalih untuk menyiapkan kerjaku terlebih dahulu sebelum pulang. Ada riak kecewa di wajah manismu. Lalu kau membetulkan selendang di kepala dan meninggalkanku. Tiba-tiba kau datang ke arahku sambil membimbit sebaldi air dan meletakan di hadapanku dan berdiri di sampingku, aku menanti tindakanmu. Tanpa menghiraukan reaksiku kau hamparkan selendangmu menghadap ke arah Kiblah. Aku terkejut!
“ Mah tidak mahu makan hasil titik peluh abang dengan abang mengabaikan solat.” Kata Fatimah lembut sambil tertunduk lalu lekas-lekas meninggalkan aku.
Tapi, langkahmu itu terlalu jauh rupanya kau bawa. Aku memerhatikan selendangmu yang menjadi sejadahku.
“Tuk sudah sampai.” Beritahu Pian ketika motosikal berhenti di hadapan pagar kawasan perkuburan. Dengan kudrat tuanya, Pak Aji berjalan perlahan-lahan ke kuburan almarhumah isterinya. Batu nisan penanda kubur sudah tiada lagi akibat dihanyutkan banjir 5 tahun lalu. Tempat itu juga sudah dihuni oleh liang lahad orang lain.
Mah,
Apa khabarmu di sana,
Aku semakin rindu untuk bertemu denganmu.
Aku tahu engkau isteri yang baik,
Tapi aku bukan pula suami yang terbaik.
Aku khuatir jika aku tidak dapat bertemu denganmu lagi.
Mah,
Sunyi hidupku tanpamu untuk temani zaman tuaku.
Sunyi aku tidak dapat lagi mendengar merdu suaramu mengaji di malam hari,
sunyi aku tidak dapat beriringan pergi ke masjid di subuh hari,
Mah,
Alangkah beruntung jika aku dengar nasihatmu dahulu,
“Solat, Bang Mat!”
Tidaklah aku menyesali usiaku yang rompong ini.
“Pian,balik mandi! Nanti bawa atukmu ke masjid. Sekejap lagi azan Maghrib.” Laung ibu Pian ketika melewati anaknya yang leka bermain bola dengan teman-teman sekampungnya. Ibu Pian, Azizah hairan melihat rumah pusaka yang didiami ayahnya seorang diri masih lagi bergelap. Kebiasaanya lampu di hadapan akan dipasang waktu-waktu begini dan ayahnya juga sudah siap-siap menunggu cucu kesayangannya untuk membawanya ke masjid. Azizah mengambil keputusan untuk menjengah rumah ayahnya yang bersebelahan dengan rumahnya.
Pintu yang tidak berkunci dikuak perlahan-lahan. Salam yang diberi tidak bersahut. Kelihatan susuk tua ayahnya sedang bersandar di kerusi malas yang berdekatan dengan tempat solatnya di satu ruang khas solat. Di sampingnya, ada sebuah meja menempatkan Al-Quran yang terbuka terletak di atas rehal yang diperbuat dari kayu. Azizah menghampiri.
Ada catatan nota disamping al-Quran tersebut. Azizah tertarik untuk melihatnya. Kelihatan ayahnya tenang terlena, barangkali penat kerana sakit tuanya kebelakangan ini. Tiba-tiba muncul Pian masih lagi dengan baju t-shirt yang dipakai bermain bola tadi menghampiri ibunya yang sedang membaca catatan ayahnya bertulisna jawi itu.
Tua,
Semakin aku penat mengharunginya,
langkahku semakin mengah menitinya,
nafasku semakin sesak menghirup udaranya.
Mataku semakin kabur menatapinya.
Tua,
Ku fikir menambah pahala,
Tapi sayang semakin kurang jua.
Tua,
Ku fikir menghapus dosa,
Tapi sayang amal tak termampu rasa.
Hari ini,
Kujejaki lagi tanah kuburan Fatimah,
Ada suara sendu menusuk kalbu,
Membisik-bisik memeluk rindu,
Aku berpaling,
Ada senyuman dari dia,
Aku menghampiri tapi sepi,
Dia, dalam telekung putihnya,
Melambai-lambai mengajakku,
Aku menganguk setuju,
Tunggu aku di situ.
Tuhan, moga tuaku mendekatkan aku,
Kembali kepada tujuanku,
Sebagai hambaMu…
Semoga terhapus dosa-dosa lalu,
Atas pengabdian ibadah tuaku.
Azizah dan Pian memerhatikan atuknya yang masih lena di kerusi.
“Atuk, bangun. Sudah Maghrib.” Panggil Pian berulang-ulang namun tiada lagi sahutan.
Posted by Ms. Turtle at 9:28 PM