Saturday, August 15, 2009
Kasih Tersisih
Hakim memerhatikan meja makan rumahnya.
Teringat kritikan pedas kepada isterinya.
“kenapa masin sangat gulai awak ini? Nak suruh saya cepat matikah?” Hakim mencerlung ke mata isterinya.
Hasnah terkejut.
“Maaf abang, Nah….Nah masak yang lain ya?” Pujuk Hasnah setelah mencicip gulai tersebut.
“Tak payah! Saya sudah tiada selera nak makan.” Hakim bangkit dari kerusi dan mencapai kunci kereta.
“Abang nak ke mana?” Tanya Hasnah mengikuti dari belakang.
“Cari makanlah, tak akan saya nak makan masakan masin awak itu. kalau sudah tahu tidak reti masak, beli saja diluar. Membazir juga kalau masak tidak reti.” Hasnah terpukul dengan kata sinis suaminya.
Dia tahu dia tidak berbakat dalam memasak, dia tahu banyak tempat makan diluar yang sedap. Tapi, dia memasak dengan ikhlas dan ini air tangannya. Akhir-akhir ini suaminya semakin baran,semua yang dia buat tidak kena di mata suaminya.
……………
“Nah, kamu ini sudah lama kahwin tapi seorang anak pun tiada, kau merancangkah?” Tanya Maimunah, ipar Hasnah sewaktu pulang ke kampung mertuanya lembut.
“memang merancang Kak Mun, merancang nak anak tapi…tiada rezeki lagi.” Balas Hasnah berbasi-basa sambil memerhatikan anak-anak buah suaminya bermain-main di halaman rumah. Tiba-tiba ibu mertuanya muncul dari belakang.
“Hasnah, masuk bilik mak sekejap, ada perkara mak nak bincang dengan kamu.” Hasnah mengikuti ibu mertuanya dari belakang.
“Mak nak cakap apa dengan Nah?” Tanya Hasnah setelah menutup pintu bilik ibu mertuanya.
“Mak hendak kau tengok gambar-gambar ini.” Beritahu ibu mertuanya sambil menghulurkan beberapa keping gambar perempuan.
“Mak cari calon isteri untuk Badrulkah?”Tanya Hasnah sambil meneliti wajah-wajah dalam gambar tersebut.Dia tahu emaknya sudah bising-bising merungut Badrul adik suaminya tidak mahu kahwin lagi.
Ibu mertuanya menghampiri jendela.
“Bukan, tapi…untuk…Hakim!” Beritahu ibu mertuanya mendatar. Hasnah terkasima.
“Mak nak cucu dari kamu berdua, dan mak tahu kamu tidak boleh beranak. Hasnah, kamu kena faham perasaan Hakim. Dia itu dari dulu sukakan budak.” Jelas mertuanya seperti memujuk.
“Mak, apa bezanya cucu Abang Hakim dengan cucu-cucu mak yang lain? kami boleh ambil anak angkat mak.” Hasnah sedaya membela dirinya.
“Tapi Hakim mahu zuriatnya sendiri. Hasnah, mak tahu tiada isteri yang rela bermadu, tapi kalau kita tidak dapat memberi anak kepada suami, perkahwinan itu tidak bermakna.” Hasnah kecewa dengan kata-kata mertuanya.
……………..
“Tapi bang, isteri-isteri Rasulullah pun ramai yang tidak ada zuriat dengan Baginda tapi mereka masih bahagia.” Hasnah cuba berhujah.
“Masalahnya abang bukan Rasulullah. Abang kahwin bukan semata-mata nafsu ,abang cuma inginkan anak. Abang janji tidak akan cintakan perempuan yang bakal jadi isteri abang.” Pujuk Hakim, Hasnah semakin membuak kecewa dengan jawapan suaminya.
“Abang ingat tugas isteri dalam berumah tangga semata-mata untuk melahirkan anak sajakah? Abang, perkahwinan itu penyatuan antara dua jiwa, jiwa yang mempunyai perasaan. Siapapun bakal isteri abang layak untuk dicintai!” Hasnah menjelaskan.
“maksudnya, Nah izinkan abang kahwin lagi satu?” Senyuman terukir di bibir Hakim.
“Tiada dalam rukun poligami Islam wajib mendapatkan izin dari isteri. Tapi...Lepaskan Nah!” Tegas Hasnah memandang tepat bola mata suaminya.
“Nah, tidak terlintas pun di fikiran abang nak lepaskan Nah semata-mata untuk dapatkan anak!” Jelas Hakim.
“Habis, kalau nanti abang dapat anak, abang nak buat apa lagi dengan saya? apa yang saya pernah beri kepada kepada abang, abang akan dapat dari bakal isteri abang.”
…………………..
“Lidia..kakak tahu kamu masih menyimpan perasaan kepada Abang Hakim.” Kata Hasnah suatu hari ketika mengajak Lidia minum di sebuah kafe.
“Eh! Mana ada Kak Nah. Lidia cuma…anggap Abang Hakim sebagai suami Kak Nah saja.” Lidia berdalih.
“Lidia, sepatutnya kamu yang jadi isteri Abang Hakim dari dulu lagi, seperti keinginan emak Abang Hakim untuk bermenantukan Lidia, tapi malangnya Abang Hakim memilih kakak.” Hasnah membuka kisah lama.
“Kakak, pernikahan kakak dengan Abang Hakim bukan sesuatu yang malang. Buat apa kita sebut kisah lama. Sudah takdir saya tiada jodoh dengan Abang Hakim, saya terima.” Kata Lidia pasrah.
“Tapi Lidia, jodoh seseorang tidak bermakna terputus walaupun antara mereka sudah berkahwin selagi maut belum meragut mereka pergi.” Hasnah menggenggam tangan Lidia.
“Apa..maksud...”
“Nikah dengan Abang Hakim!” Hasnah segera memotong.
“Kakak!”
………………….
“Saya mahu buat umrah!” Hasnah meminta izin dari suaminya yang sedang menghadap laptopnya.
“Hm…tangguhkanlah dulu, abang sibuk dua tiga bulan ini, tidak boleh ikut.” Hakim beralasan, matanya masih menghadap skrin laptop.
“Saya tidak minta abang ikut.” Jelas Hasnah.
“Habis, Nah mahu pergi seorang diri? Abang tidak izinkan!” Hakim memandang Hasnah yang duduk di sebelahnya.
“Nah pergi dengan Mak Cik Izzah, mak angkat Nah. Abang izinkanlah!” Hasnah memujuk, mendatar suaranya.
“Bila?” Tanya Hakim.
“Hujung bulan ini? Nah sudah daftar dan buat persiapan.” Beritahu Hasnah.
“Kalau semua sudah siap, buat apa lagi nak minta izin dengan abang? Kalau abang tekad tidak izinkan, membazir saja persiapan yang Nah buat.” Hakim membidas tindakan isterinya.
“Tapi kenapa hujung bulan ini pula? Nah tahukan yang…” Hakim serba salah untuk menyudahkan ayatnya.
“Abang izinkanlah Nah ke Mekah. Nah rasa kehadiran Nah di majlis perkahwinan abang nanti hanya akan membuat abang serba salah. Biarlah Nah cari ketenangan di Mekah, sementar abang menikmati bahagia di sini.” Kata Hasnah, Hakim faham.
“Hm..baiklah! tapi kenapa pula ke Mekah? Nah, Mekah itu bukan tempat untuk kita melarikan diri dari masalah tapi tempat untuk beribadah.” Kata Hasnah.
“Nah bukan melarikan diri, tapi Nah mencari diri Nah! Dan perkahwinan kedua abang bukan satu..masalah untuk Nah. Niat Nah untuk ke Mekah abang tidak perlu ambil tahu.” Hasnah bangkit meninggalkan suaminya.
…………………….
“Selamat pengantin baru. Abang jangan risau, Nah yakin Lidia dapat jadi isteri yang terbaik dan dapat melahirkan zuriat dari benih abang sendiri.” Airmatanya menitis laju saat mengirimkan ucapan selamat penganitn baru kepada suaminya. Hasnah memandang ka’bah di hadapannya.
“Ya Allah, hambamu ini mengembara jauh dari satu sudut duniamu untuk datang ke rumah Mu yang agung ini. Sungguh Engkau Maha Tahu niatku ke sini. Ya Allah, tiada yang mustahil dalam setiap keupayaanMu, apabila Engkau mengatakan kun maka jadilah ‘fayakun!’. Ya Allah, sudah hampir lima tahun hidupku tanpa zuriat sendiri. Tidak pernah aku jemu berusaha walau segala sindiran ku terima. Kata doktor aku mandul, tapi padaku tiada yang mustahil disisiMu. Ya Razak! Kurniakanlah aku zuriat dari benihku sendiri, agar dapat aku membahagiakan suamiku, walaupun saat ini dia sudah menikah lagi. Aku selalu meminta kepadaMu, aku malu tetapi aku tahu, impianku hanya akan termakbul apabila aku meminta kepadaMu. Andai sudah tertulis aku tidak akan mempunyai zuriat, maka kembangkanlah zuriat suamiku dari benih isterinya, Lidia.”
………………..
“Nah, Lidia sudah mengandung dua bulan.” Beritahu Hakim, jelas kedengaran suara bahagia dari corong tetefon rumahnya.
“Betulkah? Tahniah! Tercapai juga impian abang. Hm...abang jadi balik tidak malam ini?” Tanya Hasnah.
“Mana boleh tipu hal penting macam itu. tapi..abang tidak jadi balik rumah Nah malam ini. Abang…janji nak raikan berita ini dengan Lidia malam ini. Nah tahukan, orang mengandung kena jaga perasaan.” Hakim memberitahu.
“Tapi, malam inikan giliran saya, abang sudah 5 hari tidak balik sini. Rasulullah hari-hari jenguk isteri dia yang ramai pun mampu.Lagipun Nah ada perkara hendak beritahu abang. Abang balik ya, kejap saja.” Hasnah memujuk.
“Abang minta maaf Nah. Kali ini memang tidak boleh.Malam esok ya kita jumpa?”Hasnah memutuskan talian dengan kecewa. Tangannya mengusap-ngusap perutnya sambil menangis.
…………………….
“Abang! Nah minta maaf sebab keluar rumah tanpa izin abang. Nah ingin menyendiri, abang tidak perlu cari Nah, nanti Nah balik.”
Hakim membaca nota ringkas isterinya yang dilekatkan di depan cermin bilik tidur mereka..
…………………..
“Tuan Hakim, isteri tuan selamat...tapi…kami minta maaf, bayi dalam kandungan tidak dapat diselamatkan kerana jantungnya terlalu lemah.” Hakim tersandar ke dinding mendengar kata-kata doktor tersebut.
Tiba-tiba keluar seorang doktor lain bersama dengan seorang jururawat yang sedang mendukung seorang bayi dari bilik bersebelahan.
“Kesian bayi ini, tiada siapa menyambutnya.” Kata jururawat tersebut kepada doktor.
“ Hakim! Kenapa dengan kau? Apa yang terjadi kepada Hasnah?” Tegur teman Hasnah yang berkejar ke bilik bersalin. Hakim terkejut dengan soalan Azura.
“Doktor? Bagaimana dengan Hasnah binti..Muhammad?” Hakim bingung memerhatikan Azura di hadapannya.
“Cik ini siapa?” Tanya doktor tersebut.
“Saya teman serumahnya.” Jawab Azura.
“Oh begitu, Puan Hasnah selamat melahirkan bayi lelakinya, ini bayinya!” Beritahu doktor tersebut sambil menunjukkan bayi yang didukung jururawat. Azura dan Hakim masing-masing berpandangan keliru.
“Kim! Ini anak kau!” Hakim segera menghampiri bayi tersebut, bibrnya mengukir senyuman.
“Doktor, isteri saya bagaimana?” Tanya Hakim terlupa sejenak isterinya Lidia.
“Puan Hasnah…maaf, dia tidak dapat diselamatkan.” Kata doktor perlahan. Hakim bingung dengan keadaan yang berlaku. Hasnah!
“Tidak!!!”
.................
Posted by Ms. Turtle at 12:18 AM