Tuesday, May 19, 2009

Kejauhan yang Dirindui

Sore itu kembali, menuntun langkah ku sekali lagi ke tempat itu. Sore itu mengingatkanku tentang saat-saat yang tidak ingin lagi aku kenang. Sore itu tetap tenang walaupun di luarnya penuh dengan hiruk pikuk kota, jeritan manusia, laungan enjin- enjin kenderaan yang berulang –alik, namun di tempatku jua suasananya tetap sama. Aku hanya memerhatikan dua timbunan tanah di hadapan, kaku sahaja pandangku. Ku tahan air mata dari jatuh, peristiwa itu kembali dan meragut hatiku pergi. Tapi ku pujuk hati agar tidak mengesali, ku pujuk lagi jiwa, ini bukan keabadian sejati. Ku rawat luka hati agar aku mampu bangkit lagi. Walau kekadang jatuhnya sangat sakit, jatuhnya tanpa henti. Tanganku cuba mencapai kekuatan, ku cuba berpaut pada sekeping harapan, walau pautanku menggigil kelemahan.ku cuba berdiri dengan gagah, walau longlai lebih ku rasai. Ku pujuk lagi hati, ku kesat air mata sendiri, jangan biarkan airmata mu terus mengalir, kerana aku tidak tahu sampai bila kau akan berhenti.

19/8/2005

Seminggu sebelumnya.

ada tepung gandum, telur, gula cukup, pisang pun ada sesikat. Kalau di buat kek pisang barangkali boleh dapat sebiji. Ah! Naik ke tidak kek pisang tu bukan soalnya. Yang penting manfaatkan sesikat pisang itu. Mungkin besok pagi kau bangun hanya tinggal kulit sahaja. Dua kemungkinan, samaada di makan oleh saudaramu atau tikus di dapur. Sekarang sudah pukul sepuluh malam, buang tebiat ke nak buat kek pisang, nanti tengah malam baru siap, siapa nak makan? Semua orang sudah kenyang makan malam tadi. Adik aku kan ada.

Aku menghampiri adikku yang sedang leka menonton televisyen.

“ Mahukah kau jamah kek pisang yang aku buat nanti?” Soalku.

“ Aku sudah kenyang” Balasnya acuh tidak acuh.

Kecewa. Kembali ke dapur, memerhatikan bahan-bahan yang siap tersusun. Mungkinkah siap sebiji kek pisang ini? Kedengaran derap kaki dari arah luar. Adiku bersandar di peti sejuk sebelahku.

“Buat saja, nanti aku jamah. Kau pun tahu perutku mudah lapar” adik senyum. Menghayun langkah ke bilik mandi. Aku senyum.

Aku memasukan tepung ke dalam bekas pemutar, gula halus, telur empat biji, marjerin. Kalau ada mentega lagi sedap. Pisang sesikat ku penyek lumat- lumat dan aku masukan ke dalam adunan bahan tadi. Mesin pemutar menjalankan kerjanya. Aku suka mendengar bunyinya. Putar elok-elok ya, sebatikan adunannya. Setelah siap, aku tuang ke dalam acuannya dan memasukan ke dalam oven yang dipanaskan 15 minit lalu.

“Apa yang kau buat?” Ayah menyapa dari belakang. Aku senyum padanya. Dia baru keluar dari bilik mandi.

“Kek pisang yah.” Jelasku.

“O, sudah siap?” Tanya lagi, memandang kearah oven.

“Baru nak bakar kek” Ayah berlalu memasuki biliknya.

Sejam berlalu. Aromanya tidak ubah seperti kek pisang yang aku buat sebelum ini. Tapi apa bezanya dengan kali ini? Kali ini bezanya kek pisangku naik dan lembut. Aku memotong kek dan meletakkan ke dalam piring. Adik ku menyusul.

“Wah, sudah siap kek kau” adik menjamah kek pisang yang terletak di atas meja.

“Naik kek kau, tapi kenapa hitam sekelilingnya? Kau ni reti ke tidak buat kek? Kalau tak hangit tak boleh?” ngomel adiku sambil menyuap cebisan kek laju ke mulut.

“Sedap tak?” Tanyaku.

“Boleh lah makan, tak sakit mulut” Aku mencebih.

“Dah siap? Ayah nak rasa sikit”. Aku terkejut. Adakah dia menunggu sedari tadi dibiliknya semata-mata ingin merasa kek pisangku. Aku menghulurkan sekeping kek kepadanya.Aku memerhatikan ayah menyuapkan kek kedalam mulutnya. Expresi mukanya sama.

“Sedap tak?” Tanyaku pada ayah.

“SEDAP” Jawabnya spontan. Hatiku berbunga riang. Tidak pernah ayah memuji masakanku sebegitu. Adik mencebih kearahku. Tapi aku tahu hati kedua-duanya ikhlas kerana aku mengenali hati mereka. Tapi tangan ini tidak akan lagi membuat kek pisang itu kerana semangat itu telah dibawa pergi.

3 hari sebelum itu.

Penatnya, aku hempaskan beg sekolah ke atas katil. Perutku sangat lapar, tanpa mandi dan menyalin pakaian, langkahku laju ke dapur. Ibu sedang sibuk menyiapkan makanan. ibu! bahan apa yang kau bubuh dalam masakan sehingga kesedapannya terkesan dihati, membuat aku rindu tiap kali walau ikan rebus pun lebih enak dari nasi ayam yang di jual di gerai. Sekarang musim buah, buah rambutan berbuah lebat di kebun. Aku mengajak adikku mengait buah rambutan, aku capai bakul yang di hulur ibu. Ah! Nyaman sekali udara Tuhan ini, nikmat sekali, syukur berdetik di hati, ah, perigi, teringatku kambing kami pernah terjatuh ke dalamnya pukul 4 pagi, ibu dan ayahlah yang bergegas mencari buluh sebagai tangga untuk di hulur ke dalam telaga, pandai pula kambing tu naik, macam mana boleh jatuh pun tiada saksi yang melihat, barangkali, mengigau nak pergi mandi telaga agaknya. Ayam kampung berjalan-jalan mencari makanan disekeling, walau tempatnya kotor dengan longkang penuh dengan sampah, tapi itulah kehidupan kampung yang tidak akan dapat di cari di kota. Daun-daun getah gugur bertaburan di bawa angin, buahnya bingit kedengaran memecahkan kulitnya, tersembur keluar bijinya sehingga jatuh ke atas bumbung rumah, dicemuh manusia kerana memeranjatkan tidur mereka, tapi itulah bunyinya, kalau tidak pulang ke kampung, tidak mungkin akan mendengarnya di kota.

“dik, kau panjang pokoknya,aku tunggu di bawah, kau tahukan aku tidak pandai panjat pokok, semakin tinggi aku cuba panjat, semakin laju kaki aku menggelongsor turun” kataku padanya.

Tanpa memakai baju dan masih berseluarkan uniform sekolah, adik memanjat laju, sekejap saja sampai ke atas, ah! Pokoknya rendah sahaja. Aku cuba mencapai buah yang tergantung di dahan rendang, memakannya terus, selebihnya aku masukan ke dalam bakul.

“aduh” aku menggosok kepalaku, seseorang membaling buah rambutan ke arahku.

“aduh, aw!” mengelak.

“hahaha” terus membaling dari atas.

“kurang ajar kamu!” aku cuba membalas balingannya, tidak kena. Adik memjatuhkan tangkai berisi rambutan mera-rata. Sengaja mendera aku, aku membongkokkan badan mengutip rambutan.

“aduh! Sakit lah woi!” kali ini belakangku yang kena. Suara ku meninggi. Aku menggosok, pedih.
“ayah! Tengok ni!” ayah dari kejauhan sedari memerhatikan kami, hanya tersenyum. Senyum pula ayah ni, tapi senyumnya manis sekali kali ini. Aku segera memasukan buah rambutan ke dalam bakul, adik mulai turun dari pokok, aku segera mencapai bebearapa tangkai rambutan, apa Lagi, SEGERA LARIKAN DIRI!

“woi! Sapa nak angkat bakul ni?” kelihatan dia menghadapi kesukaran membawa bakul rambutan itu, beberapa tangkai rambutan jatuh, dia terpaksa memungutnya sambil memegang bakul, tangkai lain pula yang jatuh. Aku semakin jauh.

“ siapa suruh kau buat jahat dengan aku” aku tidak tahu macammana dia membawa pulang bakul itu.

Sehari setelah itu.

ku sandar kepalaku di lututnya sambil memeluk kakinya, tangisku menjadi-jadi. Jangan pergi dulu, aku belum bersedia menerima pemergiaanmu. Aku masih perlukanmu, walau kau tidak pernah melafazkan kata sayang kepadaku, namun aku masih tetap ingin bersamamu. Esakku semakin menyesakkan hati, sandarku padanya berat sekali. Tangan kasarnya menggosok belakangku, menepuk lembut namun katanya tegas “sudah, jangan menangis lagi”. Sedarku dari mimpi, ah! Kau sendiri tahu aku tidak mampu.

Malam kejadian

Huh! Jadual waktu siap,entah yang ke berapa, jarang sekali aku ikutinya. syukur percubaan spm ku cemerlang, ibuku riang mendengar keputusanku, ayah pula belum sempat ku beritahu, barangkali esok hari, esok kan ada lagi. Aku berkira-kira apa hadiah yang ingin aku minta darinya. tanpa kami sedari, esok tidak ada lagi untuknya. Sudah pukul 2 pagi, mata ini belum lagi mengantuk, tidak pernah aku rasa begitu bersemangat sekali untuk belajar, keputusan percubaan itu benar- benar menaikan semangatku. Kedengar bunyi bising di bilik ibu ayah yang bersebelahan dengan bilikku.

Kedengaran ayah menahan nafaznya, lelahnya kembali lagikah, aku menunggu ibuku memanggil kami. Keadaan di sebelahnya kurasa genting sekali, hatiku berdegup kencang, aku masih menanti ibu memanggil kami.

“nanti saya panggilkan mereka” kedengaran suara ibu di sebelah sana, tumpuanku pada buku di depan terganggu.

“jangan, jangan tinggalkan aku” ayah menahan. Nafaznya kedengaran turun naik, sukar sekali dengarnya.

“han, bangun, ayah lelah” akhirnya ibu mengetuk dinding biliku yang memisahkan bilik kami. Aku segera ke bilik sebelah, muka ayah semakin pucat, biru, dadanya berombak kencang, nafasnya menyesakan. Ibu menggosok-gosok dadanya, bibir ayah tidak lekang menyebut ALLAH ALLAH.

“panggilkan abang dan akak” aku segera mengetuk pintu bilik abang dan memanggil akak. Mereka segera menuju ke bilik ayah.

“bawa ayah terus ke hospital” cadang akak.

“badannya semakin pucat, tangannya semakin biru” tangan akak memicit-micit tangan ayah, menggosok lembut. Mulut ayah masih terkumat kamit.

“mana Han, Jauhari, Li,Ma ?panggilkan mereka” Pinta ayah.

“Kami disini” beritahu kakak ke telinga ayah. Tapi adikku tiada. Kelihatan adik berjalan sambil memisat-misat matanya. Melihat keadaan ayah, sudah selalu ayah lelah, nanti bawa ke hospital, dapatkan bantuan oksigen dan suntikan, elok lah tu. Mungkin itu andaiannya dan itu jugalah andaian aku, mungkin andaian kami semua. Tapi ayah tahu masanya telah tiba.

Abang bergegas menghidupkan enjin kereta, kembali ke bilik ayah,

“segera!” beritahunya pada ibu. Mereka bergegas menukar pakaian. Aku hanya memerhati ayah, tangannya ku pegang. Hatiku kosong, hanya melihat kesukarannya bertarung dengan lelahnya yang semakin serius akhir-akhir ini, sudah jarang dia kemasjid kerana keuzurannya, makannya tidak lagi berselera, solatnya duduk, didalam kocek bajunya selalu ada inhaler.

Aku memerhatikan ibu, abang, akak dan suaminya menguruskan ayah, mengangkat ayah dari katilnya, langkah ayah semakin longlai, terpaksa berpegang pada bahu ibu dan akak. Kukunya benar-benar biru. Apa yang aku buat saat itu, tiada. Hanya memerhati tindakan mereka di hadapan.

“jaga rumah, tengokkan Nurin” pesan ibuku, segera masuk ke dalam kereta, aku melihat kelibat ayah dari belakang kereta. Tanpa aku tahu itulah pertemuan terakhirku dengan ayah.kami menunggu di rumah, menanti panggilan dari abang.

“mari kita baca Yasin” cadangku pada adik, aku mengambil wuduk dan duduk di katil bersama adik. Mencapai al-Quran. Entah kenapa hatiku terdetik membaca surah Yasin. Perlahan-lahan aku membaca al-fatihah, kedengaran deringan telefon dari luar. Aku memasang telinga, tumpuku bukan lagi pada bacaan. Mengapa lain sekali perbualan mereka, aku mengagak sesuatu yang tidak baik, bukan! Aku tidak mengagak, aku mengretahuinya kini, tapi aku masih menanti kakak ku datang kepada kami. Beberapa ketika, kelihatan wajah kakak dari balik tirai pintu bilik. Matanya merah. Jangan cakap!

“han, ayah dah tiada!” mendatar katanya di iringi derai air mata.

Kaku, wajah adik berubah, satu persatu kenangan lalu terimbau. AYAH!!!. Aku benamkan muka ke bantal. Menangis semahunya, katakan ini tidak benar! Hatiku hancur, Yah, yah… han belum bagitahu lagi result han, han belum lagi masuk universtii, han belum lagi kerja, han belum lagi kumpul duit nak bawa ayah pergi haji. Yah. Yah, han yang salah! Sebenarnya ayah jatuh bilik air kerana han, han cuai ketika mencuci billik air, han yang buat ayah terpaksa solat duduk, han yang buat ayah terusan mengadu sakit pinggang, han yang buat ayah menjerit kesakitan ketika jatuh. HAN YANG BUAT YAH! Han takut nak bagitahu, han takut ayah marah han. Yah! Maafkan Han, han tak sengaja!. Benar, kau ragut segala- galanya dariku. Semangatku, benar-benar kau ragutnya.

27/2/2007

Sakit ibu makin menjadi-jadi sejak kematian ayah dua tahun lalu. Anak mana yang tahan melihat ibunya yang dulu mampu berjalan, tiba-tiba lumpuh. Aku sendiri buntu kenapa makin lama ibu semakin sukar untuk berjalan, sehingga kehidupannya hanya di katil atau kerusi malas. Siksa hati anak melihat hanya tuhan yang tahu. Aku menunggu menati bila saatnya ibu boleh berjalan kembali, bukan kerana aku penat menjaganya, tapi aku tersiksa melihat keuzurannya yang semakin menjadi- jadi. Kehidupannya banyak dihabiskan di hospital, ubatnya lebih banyak di telan dari makanannya. Rambutnya semakin kusut sehingga sukar untuk disikat. Tangannya menggigil menyuapkan makanan, ibu, biar aku suapkan! Tapi tidak pernah aku buat. Hanya mata bodoh melihat sahaja. Mukanya semakin sembap, tidurnya semakin kerap, bukan di katil, tapi di kerusi malas itu, kerusi yang menepatkan ayah sewaktu memandikan jenazahnya. Masaknya sudah jarang, aku rindu masakannya, tapi ibu sudah tidak kuat, berdiri pun susah.

Matanya banyak pejam dari buka, nafasnya selalu tercungap-cungap, lelahnya begitu menyesakkan hati aku, biarku ganti tempatmu ibu! Tapi aku tak mampu! Derhakakah aku lagi padamu ibu? ku pujuk hati, sabar, sabar, sebentar lagi ini akan berakhir, aku tahu hatimu sedih, sabar, ibu akan pulih, pulih seperti dulu, walau aku sendiri tahu harapanku tipis, kesihatan ibu semakin teruk dan aku terpaksa meninggalkannya di kampung kerana pengajianku di kota, ibu kalau bukan kerana pintamu, sesaat pun aku tidak ingin berpisah denganmu, tapi itu jua pintamu, hanya pelajaran mampu mengubah nasibku. Kalau kau tahu ibu, ku paksa hati melupakan deritamu di kampung, bukan aku penat, tapi aku takut ia mengganggu pelajaranku kerana jika aku gagal, maka aku juga gagal membahagiakanmu. Maaf ibu, disaat aku perlukanmu kau selalu ada, tapi disaat kau perlukanmu, aku jauh darimu. Aku ingin pulang ibu, biar aku jaga dirimu.

Akhirnya pulang juga aku ke kampung, ah ibu! penat seharian perjalanan pulang dari Kuala Lumpur terus hilang tatkala menatap wajahmu, dengar suaramu cukup menghilangkan segala tekanan di hati. Walau ayah sudah lama pergi, engkau masih disisiku, kekuatanku ada padamu. Marahlah ibu padaku jika itu bias menenteramkan hatimu, aku rela, namun maafkanlah aku setelah reda, kerana hidupku tidak akan bahagia jika tanpa redhomu, senyumlah, pandanglah aku jika ia mampu menghilangkan lelah didadamu yang menyesakan jiwamu, aku pasti mampu menenteramkan hatimu, kerana aku akan menjagamu, aku akan masak untuk mu, mandikanmu, sikat rambutmu, sapukan bedak dipipimu, picit kakimu, temankanmu. Namun aku masih bukan anak sejati, sakitmu benar ibu, aku tak mampu menanggungnya kerana aku takut melihat derita yang kau lalui.

Ibu, ingat lagi waktu kecilku, aku berkeras tidak mahu mengaji, ah ibu! marahmu menyinga, kau heret tubuhku ke luar rumah, kau kunci pintu, ingat ibu, waktu itu malam, aku menjerit ketakutan, buka pintu ibu, aku takut gelap! Ah! Hati ibu, tidak akan tega mendengar jerit tangis anak perempuannya, kau buka pintu walau marah masih bersisa. Ingat ibu, waktu itu aku lemas di sungai, dua kali ibu, tapi aku tidak beritahu padamu, aku tahu kau akan marah, pergi ke sungai pun kau melarang, katamu sungai tidak sesuai untuk ku, tapi temanku semua bermain, bermandi-manda di sungai, apa bezanya aku dengan mereka,aku tahu bezanya kini; AKU ANAK MU. Namun, bangkai gajah tidak akan dpaat di tutup selamanya, akhirnya kau dapat tahu dari budak- budak kampung, menyinga marahmu, kecut perutku.ibu! entah yang ke berapa kali aku membuatmu marah. Tentu kau kecewa denganku. Tapi ibu, sejak itu aku tidak lagi bermain di sungai. Pernah ibu suatu hari kau belikan aku beg, beg yang memang bukan citarasaku, kau tahu ibu apa yang aku buat dengan beg itu? Aku pun tidak tahu, kerana aku tidak menyukainya, tak ku hirau pemberianmu sehingga ia hilang dariku. BODOH AKU IBU! seperti aku tidak menghiraukan hatimu, harapku moga engkau tidak tahu, kerana aku tidak ingin kau terluka lagi.

Ibu! aku benci pada akakku melihat dia sungguh- sungguh menjagamu, dan aku hanya memerhati sahaja. Hatiku menjerit berteriak,cukup! Jangan sentuh ibuku! Biarkan aku jaga Ibu pula! Ingin sekali aku menolak tubuhnya saat dia dekat dengannu, tapi sungguh aku lupa. Ibu punya lima anak perempuan, bukan aku seorang. Kalau kau tahu ibu, tiada yang terindah melainkan aku dapat berbati kepadamu, menjagamu, masak untukmu, memandikanmu, menggosok rambutmu dengan sampu, menyapu bedak dipipi lembutmu, memakaikan baju ke tubuhmu, menyapu minyak kekakimu, memnyediakan ubat kepadamu, memapahmu ke bilik tidur, menemanimu tidur. Ah! Ibu, sesak hatiku melihat au tercungap- cungap bernafas, tidurmu sukar sekali, tidurmu bukan baring tapi duduk ibu! DUDUK IBU! sakit pinggangmu tak kau beritahu, malah kau marah padaku saat aku terbangun dari tidur melihat dirimu, aku ibu, tidak redho untuk lelap sesaat dan mengabaikan kau. MAAF IBU!

Kejap benar cuti tahun baru cina ini. Sekarang waktunya untuk meninggalkan ibu lagi, maaf ibu. bukan ini mahuku, tapi ibu, janjiku, aku akan pulang lagi. Benar aku pulang lagi, tapi tiada lagi yang menunggu kepulanganku. Semua barang telah di kemas, beg pakaian telah di masukkan ke dalam bonet kereta. Aku melihat ibu terbaring lesu di atas tikar, cepat sihat ibu, masakkan sesuatu untukku, jangan terus baring di situ, bangunlah, kuatkan dirimu, berdiri ibu, kerana apabila kau berdiri aku tahu kau sihat. Tapi ibu baringmu seolah-olah kau ingin baring selmaa-lamanya.

Kuhampiri ibu, ku tatap wajahnya, ah! Lesumu menyakitkan hatiku, tapi ku tetap senyum kerana tangisku hanya menambahkan deritamu. Ibu bangkit dari perbaringannya, kedua-dua lututnya bertembung dengan kedua-dua lututku. Aku pegang tangan ibu, ku cium pipinya, lalu ibu meletakan tangannya dipahaku, aku kaku, mahu saja aku beritahumu sesuatu ibu! tapi ia tersekat di kerongkong ibu! perlahan ibu menarik tangannya yang kurus. Zup! Dapatku rasa tarikan ibu itu mengetarkan urat sarafku, seolah-olah mengungkapkan sesuatu “jangan tinggal ibu han!”. Tapi ibu, aku tetap tinggalkanmu. Entah mengapa aku tidak menangis seperti biasanya, aku pujuk hati, mungkin aku telah terbiasa balik kampung, tanpa aku sedar, tuhan ingin memujukku. Ku pandang ibu yang duduk di depan pintu, pandang aku ibu, pandang aku ibu. kereta meluncur laju keluar dari laman rumah, dan aku semakin jauh dari ibu, ibu juga semakin jauh, jauh dan jauh dariku, kejauhan yang mendekatkannya dengan ayah.

Malam itu

“Ibu masuk wad lagi”. Ringkas mesej dari kakak, hatiku entah mengapa tidak tenang malam itu, walau ku juga tahu ini bukan pertama kali ibu dimasukan ke hospital. Tapi hatiku tidak tergerak untuk menghubungi anak saudaraku yang menemani ibu.KENAPA?. aku langsung pulang ke bilik setelah selesai latihan drama; maaf ibu, saat aku bergembira, kau disana mengerang kesakitan. MAAF IBU! entah mengapa hati ini begitu sedih sekali malam itu, aku keluar dari bilik menuju ke tangga belakang asrama, teman sebilik menemaniku, esakku padanya, dia juga sepertiku, malah kehilangan ayah lebih awal dariku, maka rasa hati kami sama. “aku hanya ingin ibu sihat, aku hanya ingin ALLAH akhirkan derita ibu, aku tidak tahan mendengar apatah lagi melihat sengsaranya.”

Paginya, bangunku seperti biasa, usai solat subuh, dadaku sesak tiba-tiba, batukku menjadi-jadi, benar-benar teruk batukku sehingga tak berkesempatan untuk aku menyedut udara lebih lama. Akhirnya aku bangkit untuk mandi. Batuk ku reda selepas itu. “telefonmu berdering banyak kali, akakmu telefon, ku kata kamu mandi” rakan sebiliku memberitahu. Kenapa pagi-pagi lagi telefon aku, telefon berdering lagi, teragak-agak untuk menyambutnya, aku tahu ia bukan Sesutu yang baik, seperti dua tahun lepas, kerana, perasaanya juga sama,JANGAN CAKAP!

“kemas pakaian, kita balik”. Kata akak. “ kenapa?” SOALAN BODOHKU!

“IBU SUDAH TIADA…” namun jawapan yang ku terima… ah! Maksud apa semua ini. Aku, aku, aku tuhan belum mampu untuk semua ini. Jeritku langsung membuatku longlai.

“mana ibu?” walau ku tahu ibu sedang menantiku.

“Sabar-sabar!” kata pak cikku. Aku mahu ibuku, langkahku laju memanjat anak tangga, usai di muka pintu…IBU!!! hatiku menjerit, ku raut muka, tangisku menggila, longlai tubuhku untuk berdiri, esakku, esakku, esakku, mereka memandang.

“sini han” panggil abangku yand berada di sebelah ibu. Aku kuatkan diri, merangkak perlahan-lahan kearah ibu. IBU!!! ku tatap wajahnya, ibu… ibu…ibu… ku cium wajahnya, sejuk, kaku, tiada berbalas. Ku peluk dadanya, tiada berdegup lagi, ku biar kepalaku, sebentar lagi aku akan berpisah denganmu seperti aku berpisah dengan ayah dulu. Ibu..nafasku ibu, kakiku ibu, longlai ibu, mereka menarikku ke bilik, jangan jauhi aku dari ibuku “jenazahnya nak di solatkan han, dah lewat” pujuk mereka.mereka menjauhkan aku darimu ibu!

Aku melihat mereka mengusung keranda ibu, aku anak ibu, tidak mampu melihat jasadnya di timbus dengan tanah, perlahan-lahan, lembut letak tanahnya, sakit nanti badan ibu. aku hanya duduk jauh dari kuburan ibu, sebelah sana kuburan ayah. Benar juga kata orang tua, jika suami isteri mencintai satu sama lain, dan satunya meninggal terlebih dahulu, maka satu lagi tidak lama, akan menyusul jua, cinta itu jualah ibu kau wariskan kejiwaku. Tapi malang dia tidak mengetahui. Maaf ibu kerana aku anak berdosa. Jangan risau ibu, tidak lagi aku siakan kehidupan ini walaupun kau dan ayah jauh dari kehidupan duniaku, aku juga bakal menyusulmu disana, antara lambat dan cepat. Kita pasti bertemu ibu, ayah, di SYURGA ibu, tunggu han ibu, yah. kita akn bersama bertemu kembali, dan pertemuan kita akan selamanya. jangan risau ibu, biarku rindu tidak tertahan padamu, tapi aku akan teruskan kehidupanku berlandaskan ajaran tuhan. Terima kasih kerana melahirkan aku dalam ISLAM. Sore itu pulang dan moga sore itu kembali lagi…
-SELESAI-
23/02/2009

Posted by Ms. Turtle at 8:26 AM