Monday, May 18, 2009

Di Bawah Qudus Cinta-Nya

Gelap benar langit malam ini. Bulan seakan-akan merajuk kepada punguk yang tidak lagi merinduinya. Bintang-bintang seakan hilang kerdip untuk berteman disisinya. Hanya angin sepoi-sepoi bahasa mengelus lembut pipinya dari jendela kamar. Dirinya merasakan bulan itulah dia, walaupun indah dipandang, tetapi sukar digapai, lantas si pungut itu ibarat lelaki yang cuba merinduinya, kerana jauhnya jiwa si bulan nun sana, rindunya berganti kecewa, semangatnya berganti airmata. Sukar benar memenuhi kehendak manusia, susah benar minta difahami. Lantas, adakah dia perlu mengorbankan prinsip hatinya demi memenuhi kesenangan jiwa manusia? TIDAK! Bukan mereka yang menanggung derita, tapi jiwa ini yang merasa.

Petang semalam, ibu menelefonku dari kampung, bertanya bila cuti semester aku akan bermula.
“Inah, semalam ada kawan mak dari Terengganu datang kerumah, kebetulan dia menghadiri seminar disini, jadi dia singgahlah jumpa mak. Kamu pernah berjumpanya sewaktu kecil, sebelum ini dia menetap di Sabah.” Emak bercerita.

“kawan emak itu bermalam di rumahkah?” tanyaku.

“tidak, dia singgah sekejap sahaja.” Ibu diam.

“dalam kami berbual-buah semalam dia ada bercerita pasal terunanya yang baru habis belajar di Mesir. Sekarang bekerja di ibu kota” jelas ibu lagi.

“Emak nak cakap apa sebenarnya?” aku tidak senang hal anak kelaki orang dibangkitkan. Tentang itulah yang selalu dibangkitkan ibu akhir-akhir ini.

“Hm…beginilah, sebenarnya kedatangan kawan mak itu nak merisik-risik khabar anak mak ini, sudah berpunya belum. Kalau masih sendiri, kiranya dia nak jodohkan anak lelakinya tadi dengan kamu. Tapi mak tidak berani nak setuju, itu sebab mak telefon kamu, bagaimana?” Akhirnya emak membuka cerita.

Aku diam, menyusun kata.

“Inah nak belajar lagi mak” tidak! Inah nak kahwin mak!

“Mak faham kamu nak belajar, tapi mak kalau boleh sebelum mak menutup mata, nak pastikan kamu sudah terikat dengan seseorang dan mak kenal budak itu. Mak pernah jumpa budak itu dulu semasa mak dan keluarganya sama-sama menghantar dia ke lapangan terbang “ ibu cuba memancing hatiku.

“Nanti-nantilah mak, Inah fikirkan” Terus beralasan.

Kenapa tidak aku setujui sahaja permintaan emak tadi. Bukan itukah kemahuan aku, menamatkan zaman daraku. Teman-temanku kebanyakan sudah berkahwin, jika tidak pun mereka telah mengikat tali pertunangan. Tetapi aku, masih sendiri, sekarang aku di tahun akhir, umur makin meningkat. Bukan aku gedik hendak kahwin, tetapi sebahagian kesempurnaan iman adalah melalui perkahwinan. Perkahwinan itu ibadah, satu perjudian untuk sepanjang kehidupan, satu pengorbanan jiwa dan jasad. Aku tidak mahu perkahwinan itu didasari harta mahupun rupa. Bukan tidak ada lelaki yang datang bertanya, tetapi saat melihat tingkah mereka terus hati berkata tidak. Aku bukan mencari keindahan, tetapi aku mencari sedikit kesempurnaan. Kesempurnaan itulah nanti akan mengukir keindahan dalam jiwa dan kehidupanan. Keelokan iman seorang lelaki yang nanti turut memperelokan imanku.

…………………..
“Inah! Tunggu.” Jerit teman sekelas ku dari belakang sambil berlaki kecil. termengah-mengah saat dia berdiri di hadapanku.

“Assalamualaikum ukhti, kenapa?” aku memerhati sahabatku yang manis berjubah hijau.

“waalaikumussalam.” Tersenyum, lalu menghulurkan sampul surat berwarna kepadaku, wangi. Aku membukanya. Aku tersenyum.

“Pandai anti sorokkan hal ini dari ana ya.” Aku menduga hatinya.

“Bukan begitu, hal ini sudah lama dibincangkan oleh orang tua ana, tetapi ana minta tangguh, alasannya mahu belajar. Sekarang sudah semester akhir, jadi bagi mereka ana tidak boleh beralasan lagi. Nanti datang ya.” Berbunga sahabatnya bercerita.

“Insyaallah, ana datang dengan hadiah sekali” jawabku sambil bergurau.

“Jangan datang dengan hadiah sahaja, bawa bersama orangnya” gurau sahabat. Aku hanya tersenyum. Bilaah nantinya aku pula yang menghulurkan sampul berwarna dan wangi kepada sahabat-sahabatku.
…………………………..

“Agaknya siapa ya bakal pensyarah kita nanti? Dengar khabar pensyarah muda, baru pulang dari timur tengah.” Bicara rakan sekelas dibelakangku dengan sahabatnya sambil tersipu-sipu.

“Apa masalahnya kalau pensyarah itu muda? Entah-entah sudah beranak dua. Biasanya pelajar dari timur tengah kahwin awal.” Ahmad mencelah perbulan ketika melewati tempat duduk mereka. Cemburu agaknya. Satu kelas tahu perasaannya terhadap Suria.

“Su jangan risau, lepas grad nanti, Mad hantar rombongan datang merisik.” Sambung Ahmad sambil mengambil tempat duduk di bahagian lelaki.

“Merepeklah kamu ni Mad!” merona pipi Suria, teman-teman lain mentertawakan mereka. Aku memandang Suria. Sepasang mata memerhati tajam kearahku. Aqil! Cinta tidak berbalas. Segera dia mengadap ke hadapan dan beristighfar di dalam hati.

Pintu bilik dikuak, seorang belia dalam lingkungan akhir 20-an menjenguk ke dalam.

“Assalamualaikum, Subjek Pengajian sejarah islam?” Tanya lelaki itu sambil membetulkan kopiah putihnya.

“waalaikumussalam.Benar, jemput masuk ustaz, lama kami tunggu ustaz.” Kata seorang rakan lelaki yang duduk di barisan hadapan. Pemuda itu melangkah masuk menuju ke meja di hadapan, bertentangan denganya yang duduk di barisan hadapan perempuan. Belia itu berdiri dan memerhatikan pelajar-pelajar barunya. Wajahnya kelihatan gugup, jari-jarinya bermain-main dengan baju kemeja biru yang dipakainya.Barangkali berdebar kerana pertama kali mengajar. Dup, dup, hatinya berdegup kencang saat mata mereka bertentangan. Aneh perasaannya, tidak pernah terdetik sebegitu sebelum ini,tapi mengapa manis rasanya? Rasa yang tidak sama ketika pertama kali dia terpandang Aqil.

“Selamat pagi semua, seperti yang kamu ketahui, sebelum in Ustaz Soleh yang mengajar subjek ini, tetapi atas hal-hal tertentu, beliau melepaskan subjek ini. Maka, saya ustaz Amar Fadli bin Syukri akan menggantikannya. Saya baru sahaja menamatkan pengajian di al-Azhar 2 bulan lalu dalam bidang Pengajian sejarah Islam, jadi ustaz masih baru, cetek pengalaman, tapi ustaz akan manfaatkan segala ilmu yang dipelajari dahulu kepada kamu, mohon kerjasama juga tunjuk ajar dari kalian.” Terang ustaz muda itu. Pelajar-pelajar menganggukan kepala, tidak kurang si akhawat tersenyum ceria. Barangkali bukan senang mendapat pensyarah muda dan…cantik.

“baiklah kita berta’ruf dulu secara ringkas sebelum memulakan pelajaran kita hari ini. Saya akan panggil nama kamu dari senarai kedatangan ini.” Ustaz Amar Fadli membelek-belek kertas dalam filenya. Hatinya semakin kuat berdebar, namanya paling atas sekali.

“kita mulakan dengan…em..Amiratul Sakinah.” Lantas namanya yang pertama dipanggil.

“Bimillahirrohmanirrahim, ana…Amiraul Sakinah binti Rahman dari Kelantan” Pensyarah barunyamemandang kearahnya, senyum masih terukir sejak kakinya melangkah masuk tadi.mereka hanya dipisahkan oleh meja di hadapan.

“oh, mek kelate ruponyo.” Guraunya dengan dialek Kelantan yang tidak menjadi.

Sejak pulang dari kelas tadi, hatinya tidak tenteram, khuyuk solatnya terganggu. Syaitan! Dibaca al-Quran, salah merata bacaannya. Bayangan pensyarah mudanya silih berganti. Kenapa hatinya perlu begitu sekali. Ingin dibenci perasaan itu, namun sayang, ingin dilupa, semakin menjelma. Akhirnya tidurnya tanpa lena. Adakah ini CINTA?
………………………

Ibu semakin mendesak aku memberi jawapan. Kelihatan ibu benar-benar mengharap aku menerima lamaran dari kawannya. Mungkin dia tidak ingin mengecewakan hati teman lamanya. Tapi, adakah dia akan menerima lelaki itu semata-mata ingin mengeratkan ikatan persahabatan mereka? atau sekadar turut memenuhi kehendak kedua-dua sahabat tersebut? Bagaimana dengan jiwanya? Adakah jiwa manusia juga boleh dijadikan boneka kesenangan manusia?TIDAK! Emak, saya sudah punya pilihan hati saya.

“kalau kamu kata sudah ada pilihan hati sendiri, suruh budak itu hantar pihak keluarganya datang kerumah, kita mesti ikut adat” pinta emaknya sewaktu dia menelefonnya semalam. Geli hatinya melihat mendengar ibu memanggil lelaki itu ‘budak’. Dia bukan budak lagi ibu, tapi dia masih muda, pensyarah muda.

“Itu….” Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Macam mana hendak beritahu, lelaki itu tidak mengetahui isi hatinya. Mungkin dia sudah berpunya. Kenapa hari pertamanya itu tiada yang bertanya status dirinya, berpunyakah?

“Jangan kamu cuba berdolak dalih lagi dengan emak, kalau budak itu gagal hantar pihak keluarganya jumpa emak dan ayah sehingga hujung bulan ini, emak tidak akan teragak-agak menerima permintaan kawan emak itu.” Emaknya sudah pandai mengugut. Hatinya kalut, hujung bulan ini? Sekarang sudah 3 haribulan.

“Emak tidak boleh begitu, saya akan tentukan pilihan saya. Berikan saya masa.” aku cuba mengawal nada suaraku.

“Emak sudah banyak beri masa kepada kamu untuk berfikir, ayah kamu memang tidak suka anaknya kahwin lewat,katanya nanti macam-macam fitnah boleh jadi.” Emak mempertahankan keputusannya. Adakah hati aku juga perlu ditentukan oleh orang lain?

“Emak bukan orang lain, emak tahu apa yang terbaik untuk kamu, emak kenal anak kawan emak itu.”

Tapi mak, tidak semestinya mereka dari al-Azhar semuanya baik. Emak jangan tertipu dengan kopiah putih mereka. Hati mereka tidak sama emak. Ingin sahaja aku meluahkan kepada emak. Tapi sebagai anak aku tidak berani bersuara lebih. Kurang dari sebulan lagi. Adakah semua ini telah ditakdirkan tanpa rela aku? Sejak itu, tidur aku semakin tidak lena.
…………………..

“Ummi, macamana dengan gadis pilihan ummi tempoh hari? Sudahkah dia menyatakan jawapannya.” Soalku suatu hari kepada ummi sewaktu pulang ke Terengganu.

“Tidak sabar benar anak ummi ini” ummi cuba menduga hatiku sambil memegang bahuku sewaktu kami duduk di meja makan.

“Sudah ummi tanya seminggu lepas, tapi emaknya kata anaknya masih berfikir.” Beritahu ummi.

“sudah hampir sebulan sejak pertanyaan ummi, rasanya gadis itu akan menolak Fad,” hatiku kecewa menunggu jawapan yang tidak kunjung tiba.

“Gadis itu akan memberikan jawapan nanti. Fad akan ketahui samada dia adalah jodoh Fad atau tidak hujung bulan ini, banyakan solat istikharah dan bersangka baik dengan Allah” pujuk ummi. Kenapa perlu tunggu hujung bulan ini?

“Assalamualaikum Ustaz Amar, boleh saya berbicara sebentar.” Tegur seorang pelajar lelaki ketika dia sedang minum sendirian di kafe. Barangkali pelajarnya, maklumlah, sukar untuk mengingati pelajar-pelajar barunya yang ramai di insitiusi ini.

“waalaikumussalam, silakan duduk.” Pelajar itu mengambil tempat duduk dihadapannya.

“Ada apa yang boleh ustaz bantu? Kamu dari kelas mana ya?” Tanyaku lagi. Dia masih cuba mengingati wajah pemuda tersebut.

“Oh,maaf. Sebenarnya saya bukan pelajar ustaz.” Jelas pemuda itu.

“jadi, kalau kamu bukan pelajar saya, macam mana kamu kenal saya, ada apa yang kamu ingin bincangkan? Tanya aku lagi.

“Panjang ceritanya, saya cuma menyampaikan sahaja. Begini ustaz, ada seorang gadis menaruh perasaan pada ustaz, katanya, pertama kali dia bertemu ustaz, hatinya berkenan. Katanya itu cinta.” Pelajar itu cuba menyusun kata. Aku sedikit terkejut. Menanti bicara pelajar itu selanjutnya.

“ Pesannya, sudikah kiranya ustaz masuk meminangnya hujung bulan ini,dan…” Aku tersentak.

“Hujung bulan ini? Bagaimana mungkin saya menerimanya sedangkan saya belum mengenalinya? Anak siapa, dari mana? Perkahwinan bukan perkara main-main.” Tidak mungkin dia menerima pelawaan wanita tersebut, hujung bulan ini dia akan mengetahui masa depan jodohnya dengan gadis pilihannya.

“Benar ustaz, tapi ustaz mengenalinya juga, kelihatan ini sesuatu yang mengarut. Tapi ustaz, hujung bulan ini akan menentukan jodohnya dengan ustaz ataupun pilihan keluarganya.” Pemuda itu cuba meyakinkan dia.

“Beginilah pemuda, katakan kepadanya, dirikan solat istikharah terlebih dahulu. Satu cinta sahaja tidak akan dapat menghasilkan kebahagiaan.” Aku menjelaskan.

“Tapi, cinta itu boleh disemai setelah berkahwinkan?” Tanya pelajar itu. Setelah beberapa lama berbicara, pelajar itu menulis sesuatu diatas kertas dan menghulurkannya kepadaku.

“Ini nombor telefon gadis tersebut, pesannya ustaz berikan jawapannya terus kepadanya hujung bulan ini.” Sebentar kemudian pelajar tersebut bangkit pergi. Waraskah gadis tersebut ? Bagaimana dia yaqin bahawa dia akan menerimanya sedangkan identitinya tidak ingin dibongkarkan? Jika dia memenuhi kehendak wanita itu, sungguh ini satu perjudian yang besar, perjudian dua jiwa, bukan! Tiga jiwa. Jiwanya, kekasih hatinya dan wanita tersebut. Ini benar-benar gila.
……………………….

“Adik, sudahkah kamu bertanya kepadanya? bagaimana keputusannya?” Tanyaku ketika menelefon adikku, Aiman yang belajar di institusi yang sama

“kakak fikir adakah dia akan menerima kakak? Sedangkan kakak meminta segala identiti akak dirahsiakan, hatta menberitahu Amiratul Sakinah adalah kakak Man juga ditegah. Kakak meminta dia memberi jawapan hujung bulan ini, seminggu lagi kiranya, jadi atas dasar apa untuk dia menerima mahupun menolak permintaan kakak sedangkan dia tidak ada satu pun sebab untuk menerima mahupun menolak.” Adiknya membuka persoalan.

“Cinta tidak memerlukan sebab adik!” balasku, hatiku merasa kecewa. Seakan-akan dapat aku mengagak jawapannya.

“Lantas apa jawabnya?” tanyaku meminta kepastian. Hujung bulan terasa semakin lama dan semakin menyakitkan jiwanya.

“Seperti permintaan kakak, jawapanya akan diberitahu hujung bulan ini, insyaalllah.” Jawab adikya.

“Adik doakan yang terbaik untuk kebahgiaan kakak.” Adiknya mengakhiri perbualan.

Dia benar-benar membuat satu percaturan hidupnya. Harapannya seolah-olah tipis, ataupun tiada. Barangkali ustaz itu sudah punya seseorang. Berbagai-bagai andaian bermain dibenaknya. Perlukah dia terus menyetujui kehendak emaknya? Nampaknya emak menang dalam hal ini. Emak, yakinkah emak bahawa Inah akan bahagia dengan pilihan hati emak itu?
……………………..

“Emak, Inah akan beritahu jawpannya esok hari, Inah tidak berjaya menyuruh dia masuk meminang. Tapi inah janji Inah akan beri jawapannya esok, Inah mohon, emak jangan mendesak Inah, mohon yang terbaik untuk Inah” Kataku di talian usai solat isyak tadi. Bagaimana mungkin Inah menyuruhnya masuk meminang, sedangkan dia tidak mengenali Inah gadis itu. Adakah dia silap kerana tidak mendedahkan identitnya? Tapi dia seorang yang pemalu, ini pertama kali baginya.

15 minit lagi jam akan menuju detik 12 malam, maka bermulalah bulan baru, berakhirlah hujung bulan yang ditunggu. Hatinya resah menanti jawapan dari Astaz Umar. Setiap detik yang berlalu, semakin mendera, merobek hatinya. Dia beristighfar di dalam hati, mohon ketenangan agar apa jua keputusannya diterima dengan redho. Tiba-tiba satu mesej masuk. Hatinya berdegup kencang. Teragak-agak untuknya membaca jawapan dari ustaznya. Tapi inilah kenyataan yang dipilihnya. Dikuatkan semangat membaca jawapan dari ustaz Amar.

“Salam, saudari, kisahnya seperti Siti Khadijah meminta Maisarah merisik Rasulullah. Syukur sekali ada seseorang yang menyayangi diri ini, maknanya dunia ini masih lagi punya kasih sayang. Saya hormati sikap saudari menjaga kehormatan saudari hatta dalam soal cinta. Tentu sekali saudari wanita yang terhormat. Namun kisah kita tidak seperti kisah Siti Khadijah dan Rasululullah. Maaf, saya sudah punya pilihan hati saya. Semoga Allah mempertemukan kamu dengan pemuda yang lebih baik.”

Hatinya menjerit, terasa dicarik kejam, disiat-siat. Airmatanya mengalir laju. Kiranya inilah takdirnya. Disangka cinta yang pertama kali dirasainya membawa bahagia. Benar dia tidak memiliki kekuasaan terhadap jiwanya sendiri.
……………………

Amar Fadli masih gelisah menanti jawapan dari gadis pilihannya. Dia melarang umminya meminta photo gadis tersebut, dia tidak ingin membayangi wajah gadis tersebut dalam tidurnya, mandinya apatah lagi dalam solatnya, cukup sahaja wajah itu dia kenali 15 tahun lalu, wajah yang comel. Hatinya lega pabila dapat memberi jawapan sebenar kepada wanita tersebut. Tidak mungkin dia menipu hatinya. Walaupun diaa tahu, wanita tersebut begitu mengharapkannya sehingga menyuruhnya meminang hujung bulan ini tapi dia tidak ingin menipu hati wanita itu, dia tidak mencintai wanita tersebut.

5 minit lagi jarum akan melangkahi angka 12 belas. Umminya tidak menunjukan tanda-tanda gadis itu memberi jawapannya, tiada panggilan telefon diterima.

“Fad, maafkan ummi, ummi gagal penuhi keinginan anak ummi. Jawapannya tetap sunyi” beritahu ibunya selepas jam melangkahi 12 malam.

“Benarkah ummi? Mengapa begitu sekali kejamnya gadis itu? Tahukah dia Fad mencintainya semenjak 15 tahun lalu, Fad menunggunya dengan setia.” Hatinya remuk sekali, ditahan air mata lelakinya dari menitis.

“Jodoh itu di tangan Allah, Fad juga silap tidak memberitahu hal tersebut awal-awal, sebelum Fad berangkat ke Mesir” pujuk umminya.

“Terlewat ummi, untuk menyesali semua ini.” Bagaimana hati ini nanti dirawat? Bagaimana cinta dihati ini akan berganti setelah ia bersemadi berbelas tahun lamanya? Seakan sebati dengan jiwanya? Silapnya jua terlalu memendam rasa, akhirnya terlepas digenggaman juga. Mungkin inilah yang dirasai wanita tersebut saat dia menolak cintanya tadi. Cinta itu gila.
………………….

“Assalamualaikum ummi, kenapa telefon Fad pagi-pagi lagi? Ummi jangan risau, Fad anak lelaki, Fad kuat ummi?” Ustaz Amar cuba menenangkan hati umminya.

“Fad, kita ke Kelantan pagi ini.” Ajak umminya.Ah Ummi! Cukuplah, orang dah tak sudi, kenapa kita masih mencari lagi. Hati sedih kembali, bagaimana mampu aku teruskan kehidupan normaku sedangkan sebelum ini dialah sebahagian semangatku.

“Tidak perlulah ummi, memang jodoh itu bukan milik Fad, Fad redho ummi…ummi jangan…” Umminya segera memotong.

“bukan hal itu Fad, Mak Cik Zah kamu, emak gadis itu meninggal tengah malam tadi” Jelas umminya dalam talian. Innalillahiwainnailaihirojiun. Jika semalam dia merasa diduga begitu hebat dari Allah kerana cintanya tidak berbalas, semalam juga Amiratul Sakinah diuji lebih hebat darinya. Dia hanya kehilangan cinta dari seorang gadis tapi gadis itu kehilangan kasih dari seorang ibu. Pagi itu dia membatalkan kelasnya dan menuju kelapangan terbang.

Tengahari itu juga Ustaz Amar tiba di rumah Amiratul Sakinah, namun jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan, langsung dia menyusul ke sana dengan membonceng motor salah seorang cucu arwah Mak Cik Zah. Setelah sampai di perkarangan, orang ramai sudah bersurai untuk pulang, suasana tengahari itu muram sekali, wajah-wajah yang melintasinya sesuram tengahari itu walaupun matahari panas terik. Kelihatan kereta proton Wira milik ummi terletak dibawah pohon kemboja di bahu jalan. Dia segera melangkah ke pusara Mak cik Zah, tanah merah dibasahi air mawar dan ditaburi bunga-bunga, terpacak dahan kelapa yang dipotong pendek di kiri dan kanan pusara tersebut. Kali terakhir dia bertemu dengan Mak Cik Zah adalah 4 tahun lalu sewaktu dia ingin ke Mesir. Dia mendirikan solat ghaib dua rakaat di depan pusara itu.

Amiratul Sakinah memandang sayu pusara ibunya, kelihatan seorang pemuda sedang solat, namun dia tidak dapat mengenali pemuda tersebut kerana pondok tempat dia berteduh bersama beberapa saudaranya agak jauh dari pusara ibunya. Dia berpaling kehadapan kembali, ditahan air mata dari terus mengalir walau hatinya ingin menjerit sekuat hati. Ayahnya datang kearahnya dan memeluknya erat. Dia terus menangis teresak-esak di dalam pelukan ayahnya. Semalam dia dilukai, dia kehilangan cinta seorang lelaki, pada masa yang sama dia kehilangan ibu yang tiada ganti.

“Assalamualaikum.” Seorang pemuda memberi salam dari belakang ayah. Dia melepaskan pelukan ayahnya.

“Waalaikumussalam” Hampir serentak mereka yang berada disitu menjawabnya. Hatinya terkejut. Dia tidak ingin kewujudan lelaki itu dihadapannya walau apapun alasannya.

“Ustaz Amar!”

“Sakinah, kamu…” Ustaz Amar terkedu. Adakah ini Amiratul Sakinah yang dicintainya sejak 15 tahun lalu?

“Fad, bila sampai?” Umminya mendekati ustaz Amar. Ustaz Amar menyalami umminya, hatinya semakin keliru.

“Fad, ini Amiratul Sakinah. Inah, ini Fad, Amar Fadli, anak mak cik. Inah ingat tak budak lelaki yang selamatkan Inah sewkatu Inah lemas sewaktu kita berkelah di kawasan air terjun 15 tahun lalu?” Terang ummi ustaz Amar.

“Sayalah budak itu, Amar Fadli”
….…………

SELESAI.

IBRAH/PENGAJARAN

-Jangan menafikan cinta jika semata-mata ingin menjaga agama kerana cinta itu lukisan jiwa, fitrah setiap manusia. Sang pencipta juga menciptakan makhluknya dengan cinta, menjaganya dengan cinta. Tetapi jagalah cinta, ikutilah cara yang benar dalam melafaz dan meluahkannya. Kerana cinta yang bersih dari dosa dan noda, akan melahirkan umat yang cinta juga pada agama.

-Bersangka baiklah dengan Allah, setiap inci hidup ini adalah ujian, yaqinlah dengan segala takdir yang diterima. Allah tidak akn menzalimi hambanya yang menjaga cinta kerana takutkan murka Allah, Allah pasti akan menyatukan mereka. Kerana yang menyatukan jiwa-jiwa manusia hanyalah Allah:Al-Anfal ayat 63.

-Yakinlah dengan keputusan ibu, walaupun dia seorang perempuan kampung, mahupun miskin. Tetapi Allah telah menanamkan hikmah dalam membuat keputusan terhadap anaknya. Yaqinlah. Naluri ibu itu lebih sempurna dari cinta kita.

- Janganlah berputus asa dari rahmat dan pertolongannya. Selagi dia bukan milik kita, kita masih lagi punya peluang untuk bersatu. Barangkali disaat-saat akhir pengharapan kita Allah masih ingin menguji kita, namun kita terkadang segera kecewa, putus asa. Sedangkan Allah sedang berbicara kita sampai akhir, dan nampaklah betapa penyayangnya Allah kepada kita.

-bukan senang menjaga cinta dihati antara 2 manusia. Orang yang tidak pernah mengalaminya selamanya tidak dapat memahami bentuk cinta tersebut, tidak dapat menggambarkan walau si pencinta cuba melukisnya di kanvas. Mereka yang menjaga cintanya kerana takut mendatangkan murka adaalh orang yang berjihad, berjihad melawan nafsu dan syaitan. Kerana rosaknya hati maka rosaklah segalanya,hati itulah raja

- Manusia kadang- kadang lupa, selalu meminta-minta yang terbaik sejauh pengetahuannya. Tetapi Allah, selalu menganugerahkan yang lebih baik dan sangat jarang mengantikan dengan yang lebih teruk, kerana ALLAH SEBAIK-BAIK PENCINTA.

Posted by Ms. Turtle at 2:00 AM